KEMUDAHAN langganan maklumat melalui Really Simple Syndication (RSS) adalah kaedah mendapatkan maklumat terkini setiap kali laman web dikemas kini.
Konsep penggunaan RSS dibahagikan kepada dua bahagian iaitu bahagian pertama, laman web yang memberikan kemudahan langganan RSS. Bahagian kedua pula adalah perisian digunakan untuk membaca paparan langganan RSS.
1. Melakukan langganan di laman web yang mempunyai kemudahan RSS
Sebelum sesebuah laman web boleh dilanggan menggunakan teknik RSS, laman web terbabit perlulah mempunyai kemudahan langganan RSS. Pengunjung boleh mengetahui sama ada laman web itu memberikan kemudahan langganan melalui RSS atau tidak dengan mencari tanda seperti berikut:
a. Simbol ikon RSS
b. Capaian yang memaparkan kemudahan RSS.
c. Paparan capaian yang mengandungi alamat RSS.
d. Alamat laman web atau blog yang membenarkan langganan melalui alamat. (Terdapat ikon RSS di sebelah alamat)
Selepas anda dapat mengesahkan laman web terbabit mempunyai kemudahan RSS melalui kaedah di atas, langkah seterusnya adalah menyalin alamat yang mengandungi maklumat RSS itu.
Untuk menyalin alamat RSS yang diberikan, perlu ikuti langkah berikut:
a. Klik di atas ikon simbol RSS dengan menekan butang tetikus sebelah kanan dan pilih: Copy Link Location.
b. Klik di atas alamat yang dipaparkan dan salin alamat yang diberikan.
c. Salin alamat laman web atau blog yang mengandungi ikon RSS di sebelahnya.
2. Memasukkan alamat RSS ke dalam perisian melanggan RSS.
Antara perisian melanggan maklumat RSS secara online adalah http://reader.google.com. Tetapi anda perlu mendaftar untuk mendapatkan kemudahan langganan terlebih dulu.
Selepas proses langganan dilakukan, bolehlah memasukkan alamat RSS yang ingin dilanggan dalam ruang disediakan.
Sebaik langganan selesai, maklumat terkini yang terdapat dalam laman web itu akan dipaparkan di sebelah kanan ruang langganan.
Jika reader.google.com adalah kemudahan pembacaan RSS secara online melalui laman web, terdapat juga kemudahan untuk membaca RSS secara perisian yang boleh disimpan di dalam komputer.
Ini membolehkan maklumat yang dilanggan dibaca walaupun tanpa capaian ke Internet. (Capaian hanya diperlukan semasa proses memuat turun maklumat RSS). Perisian yang boleh digunakan untuk tujuan terbabit adalah seperti FeedReader. Feedreader boleh dipindah turun di www.feedreader.com
Selain daripada melanggan kemudahan RSS seperti yang dibincangkan, RSS boleh dilanggan melalui telefon bimbit.
Apa yang diperlukan adalah kemudahan perisian RSS di dalam telefon bimbit dan salin semula alamat RSS yang diperoleh di laman web ke pembaca RSS di telefon bimbit.
Dengan teknik ini, maklumat terkini di dalam laman web akan dipaparkan di dalam telefon bimbit.
Jika tidak mempunyai perisian RSS di telefon bimbit, pengguna masih boleh membaca langganan RSS secara online di telefon bimbit jika menggunakan kemudahan reader.google.com. Caranya adalah dengan menaipkan alamat reader.google.com di dalam ruang browser di telefon bimbit.
Untuk sebarang pertanyaan mengenai topik dibincangkan, sila e-mel ke azli@dapat.com
WORLD LEAGUES
Celebrity Collage by MyHeritage
13.2.09
Kemudahan langganan Really Simple Syndication (RSS)
Dicatat oleh Zai di 5:35 PTG
Label: Tip Dan Trik
Uruskan menu Start
MENU ‘Start’ adalah lokasi membolehkan kita mencapai semua perisian aplikasi yang dipasang di komputer peribadi (PC) atau notebook.
Pada awal penggunaan PC, jumlah perisian yang ada mungkin tidak banyak dan keadaannya bertambah dari masa ke semasa hinggakan perisian terakhir dipasang agak sukar dicapai kerana tidak nampak di atas skrin.
Apabila keadaan sebegitu berlaku, anda perlukan bantuan perisian tambahan untuk memaparkan semua perisian yang dipasang.
Perisian yang anda perlu pasang dinamakan Vista Start Menu. Walaupun namanya Vista, tapi ia tidak memerlukan anda menggunakan sistem operasi Microsoft Vista.
Vista Start Menu boleh dipindah turun dari laman web http://www.vistastartmenu.com.
Sebelum (gambar tip 0509a.jpg)
Selepas (gambar tip 0509b.jpg)
Di antara kemudahan yang ada daripada perisian itu termasuk:
1. Semua perisian yang ada di dalam PC akan disusun mengikut abjad.
2. Anda boleh mencapai perisian-perisian itu dengan hanya menaip namanya.
3. Kandungan ‘folder’ boleh dicapai dan dilihat menggunakan menu ‘Drop-Down’.
4. Perisian ini tidak mengubah sistem operasi PC anda, ia boleh dibuang jika tidak diperlukan.
5. Paparan menu keseluruhan boleh dibesarkan atau dikecilkan mengikut kesesuaian saiz skrin.
Dicatat oleh Zai di 5:34 PTG
Label: Tip Dan Trik
Panggilan percuma menerusi Wi-Fi di telefon bimbit
SETIAP hari ada saja kemudahan baru yang diwujudkan bagi memanfaatkan teknologi sedia ada. Kemudahan baru akan lahir apabila ia menepati tiga perkara iaitu prasarana, peralatan dan perisian.
Banyak model telefon bimbit yang dilengkapi kemudahan Wi-Fi atau capaian Internet tanpa wayar. Jika pejabat anda mempunyai kemudahan Wi-Fi, pengguna boleh melayari laman web dengan mudah dengan hanya menggunakan telefon bimbit.
Dengan adanya telefon bimbit berupaya Wi-Fi, di pejabat pula ada kemudahan perkhidmatan Wi-Fi, setakat ini kita masih tidak membuat panggilan menggunakan telefon bimbit menerusi kemudahan Wi-Fi kerana sebelum ini tidak terdapat perisian yang membolehkan kita berbuat demikian.
Penantian kita sudah berakhir apabila perisian yang membolehkan kita membuat panggilan telefon menerusi kemudahan Wi-Fi menggunakan telefon bimbit sudah wujud. Kemudahan itu dinamakan Wi-Fi Mobile dan boleh diperoleh di www.wifimobile.com
Dengan kemudahan ini, prasarana Wi-Fi sedia ada boleh digunakan untuk membuat panggilan telefon.
Oleh kerana nombor telefon didaftarkan ketika proses memindah turun perisian, maka nombor itu juga boleh digunakan untuk membuat panggilan dari telefon ke telefon yang lain.
Ikutilah langkah berikut untuk memindah turun perisian seterusnya menggunakan kemudahan Wi-Fi untuk membuat panggilan telefon secara percuma.
1. Lawati laman web www.wifimobile.com
2. Pilih, pilihan untuk kegunaan persendirian (Consumer Service). Pindah turun perisian untuk telefon bimbit. Terlebih dulu hendaklah dipastikan model telefon bimbit anda terdapat di dalam senarainya. Masukkan negara, alamat e-mel dan nombor telefon.
3. Isikan huruf sekuriti yang dipaparkan
4. Satu capaian untuk anda memindah turun perisian Wi-Fi Mobile akan dihantar ke telefon bimbit melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).
5. Apabila anda mengklik di atas capaian, perisian OneFone akan dipasang di dalam telefon bimbit anda.
6. Pilih sambungan Internet yang diinginkan dengan menekan menu > IAP, anda boleh memilih untuk menggunakan sambungan Wi-Fi atau sambungan 3G.
5. Selepas memilih sambungan, masukkan nombor telefon yang hendak dihubungi seperti biasa. Pastikan Ikon telefon berwarna hijau sebelum membuat panggilan. Apabila panggilan dijawab, bercakaplah seperti biasa. Kualiti suara bergantung kepada kualiti sambungan Internet yang digunakan. Jika anda melanggan perkhidmatan 3G Data tanpa had, perisian ini juga boleh membuat panggilan melalui sambungan Internet 3G itu.
6. Telefon rakan anda yang sudah dipasang dengan perisian OneFone ini akan berdering seperti biasa dan perbualan boleh dilakukan seperti biasa tanpa dikenakan sebarang caj tambahan.
7. Selepas membuat panggilan tekan Options dan pilih Hang Up untuk menghentikan panggilan.
Oleh kerana teknik panggilan ini menggunakan kemudahan Internet, anda boleh berbual di mana saja asalkan ada kemudahan Wi-Fi tanpa dikenakan bayaran panggilan telefon seperti yang biasa.
Anda boleh membuat pertanyaan mengenai artikel ini melalui SMS dengan menaip: AZLI hantar ke DAPAT|32728
Dicatat oleh Zai di 5:33 PTG
Label: Tip Dan Trik
Membentuk dokumen pdf
KEBANYAKAN dokumen yang digunakan untuk urusan perhubungan ketika ini dihasilkan secara elektronik.
Dokumen itu juga tidak lagi dicetak atau dihantar melalui pos tetapi dihantar secara elektronik melalui e-mel.
Dokumen yang dihasilkan oleh sesuatu perisian memerlukan perisian yang sama apabila dokumen itu hendak dibuka semula.
Jika perisian yang berlainan digunakan, ia mungkin tidak boleh dibaca, atau jika boleh sekalipun, ia mungkin berubah.
Satu penyelesaian diperlukan supaya semua dokumen yang dihasilkan secara elektronik oleh sebarang perisian boleh dibuka tanpa menggunakan perisian asal.
Di antara format yang popular yang membolehkan dokumen dibuka secara elektronik tanpa penggunaan perisian asal adalah format PDF ataupun Portable Document Format.
Perisian penghasilan PDF ini satu ketika dulu perlu dibeli, namun kini terdapat banyak perisian penghasilan PDF yang boleh diperoleh secara percuma.
Di antara perisian untuk menghasilkan fail PDF yang boleh digunakan secara percuma adalah PrimoPDF yang boleh dipindah turun dari www.primopdf.com
Apabila perisian PrimoPDF dipasang di komputer, cara pengunaannya tidak seperti perisian yang lain.
Kemudahan perisian PrimoPDF ini hanya boleh dicapai menggunakan arahan Print. Itu bermakna apabila hendak mengubah sesuatu dokumen kepada format PDF, kita perlu melakukan arahan Print terlebih dulu.
Langkah yang perlu diikuti untuk membuat dokumen yang berformat PDF adalah seperti berikut:
1. Buka dokumen yang hendak diubah seperti biasa.
2. Pilih arahan Print dan pilih Printer yang bernama PrimoPDF. Tekan Ok.
3. Paparan ini akan dipaparkan, pilih pilihan yang sesuai untuk dihasilkan
4. Tekan di atas butang “Security” jika dokumen yang dihasilkan memerlukan kemudahan kata laluan.
5. Dokumen yang sudah diubah formatnya kepada format PDF akan dipaparkan untuk semakan. Anda memerlukan perisian Adobe Acrobat Reader untuk membuka fail PDF yang dihasilkan itu.
6. Perisian ini boleh diperoleh secara percuma di www.acrobat.com
7. Berikut adalah aliran format dan perisian yang diperlukan untuk menukarkan format .DOC kepada format .PDF.
Format PDF ini juga boleh digunakan untuk mengekalkan jenis huruf yang terdapat di dalam sesuatu dokumen, menerima kemasukan data di dalam bentuk borang serta penambahan elemen interaktif terhadap sesuatu dokumen.
Dokumen PDF yang dihasilkan boleh dihantar melalui e-mel kepada penerima seperti kita menghantar dokumen elektronik yang lain.
Dicatat oleh Zai di 5:32 PTG
Label: Tip Dan Trik
Masalah saiz peti e-mel
E-MEL adalah kemudahan perhubungan popular yang selalu digunakan sejak akhir-akhir ini kerana ia lebih cekap berbanding kemudahan perhubungan yang lain.
Bagaimanapun e-mel juga mempunyai kekangannya sendiri terutamanya saiz peti e-mel penerima.
Kebanyakan e-mel berasaskan web, oleh itu saiz maklumat yang diterima adalah bergantung kepada saiz peti emel penerima itu sendiri.
Jika saiz ruang yang boleh digunakan untuk perti e-mel itu kecil daripada saiz e-mel yang patut diterima, maka e-mel itu akan ditolak kembali kepada penghantar.
Kita sukar menjangka sama ada peti e-mel penerima mempunyai ruang mencukupi kerana ruang e-mel pengguna berbeza di antara syarikat pemberi kemudahan.
Gmail memberikan 2,800 megabait (MB), Hotmail pula hanya memberikan 250MB, terdapat juga syarikat yang memperuntukkan hanya 10 atau 100MB saja.
Selain dari saiz kotak e-mel penerima, sesetengah pemberi kemudahan tidak membenarkan fail yang berformat zip atau exe untuk mengelakkan komputer penerima dijangkiti oleh virus atau perisian pengintip.
Kekangan di atas timbul kerana pada permulaan penggunaan e-mel, saiz fail yang perlu dihantar adalah kecil.
Apabila keadaan berubah maka kemudahan penggunaan fail semakin besar, penyedia kemudahan juga seharusnya turut berubah mengikut keperluan, namun perkara itu tidak berlaku.
Sebenarnya terdapat beberapa pemberi kemudahan yang menyediakan penyelesaian terhadap masalah ini.
Di antara penyedia kemudahan yang membenarkan kita menghantar fail bersaiz besar melalui e-mel ialah ‘sendthisfile’. Kemudahan ini boleh digunakan secara percuma di www.sendthisfile.com
Langkah pertama yang perlu dilakukan ialah mendaftarkan alamat e-mel anda. Ia penting untuk memastikan alamat emel yang digunakan untuk menghantar adalah alamat yang sah. Satu e-mel pengesahan akan diterima di alamat e-mel yang dinyatakan.
Selepas alamat e-mel didaftarkan, anda bolehlah mula menghantar e-mel tanpa had saiz fail yang hendak dihantar.
Untuk menghantar e-mel, anda hanya perlu pergi ke laman web www.sendthisfile.com dan melakukan proses ‘Sign In’.
Skrin seperti di bawah akan dipaparkan dan anda bolehlah menghantar e-mel seperti biasa.
Walaupun anda menggunakan kemudahan email di www.sendthisfile.com namun alamat e-mel penghantar anda masih dinyatakan di dalam kandungan e-mel penerima bagi mengelakkan kekeliruan kepada pihak penerima.
Gambar 1 - Skrin penghantaran e-mel dan sisipan
Gambar 2 - Penghantaran sisipan sudah selesai
Gambar 3 - Skrin penerimaan di alamat e-mel penerima
Gambar 4 - Penerima perlu menekan pautan ‘Download’ untuk memperoleh sisipan yang disertakan.
Gambar 5 - Fail yang dihantar boleh disimpan ke dalam cakera keras dengan menekan butang ‘Save’./
Selain dapat memberi kemudahan menghantar fail bersaiz besar, ia juga boleh menerima penghantaran fail beformat .exe atau zip tanpa risiko e-mel pihak penerima menghalang penerimaan fail terbabit.
Perlu diingat bahawa fail yang dihantar akan hanya disimpan di dalam pelayan ‘sendthifile’ selama tiga hari saja.
Selepas itu ia akan dipadam. Jika anda ingin memanjangkan masa simpanan, pendaftaran untuk akaun yang berbayar boleh juga dilakukan.
Dicatat oleh Zai di 5:31 PTG
Label: Tip Dan Trik
Kecilkan saiz imej sebelum dihantar ke web atau e-mel
MUNGKIN anda pernah menerima gambar diambil menggunakan kamera digital yang dihantar menerusi e-mel dan mendapati ia terlalu besar untuk dipaparkan.
Atau anda mungkin juga pernah meletakkan gambar di laman blog dan apabila disemak, paparannya lebih besar dari laman web anda.
Sebenarnya tidak ada masalah berlaku pada komputer atau e-mel. Imej yang lebih besar itu disebabkan ia mempunyai tahap kepadatan tinggi.
Saiz gambar merujuk kepada dua unsur iaitu saiz yang diukur dalam unit sentimeter atau kepadatan resolusi imej yang dikenali sebagai DPI (titik seinci).
Lebih tinggi keupayaan sesebuah kamera digital yang diukur dalam bentuk megapixel itu, lebih tinggi kepadatan gambar yang akan dihasilkan.
Gambar tinggi kepadatannya elok untuk cetakan, tetapi tidak sesuai untuk diletak di laman web atau dihantar menggunakan e-mel kerana masa lebih panjang diperlukan untuk proses penghantaran.
Untuk menyelesaikan masalah itu, anda dinasihatkan mengecilkan terlebih dulu saiz imej yang hendak hantarkan.
Kebiasaannya proses mengecilkan saiz imej memerlukan perisian sokongan seperti Adobe Photoshop atau Paint.
Bagaimanapun, ia agak mahal dan tidak mudah digunakan.
Ruangan Tip & Trik kali ini akan berkongsikan maklumat perisian yang dinamakan ImageResizer yang boleh dipindah turun secara percuma.
Kelebihannya berbanding perisian lain ialah gambar boleh dikecilkan ketika proses pemilihan. Tidak perlu melancarkan perisian dan mengikuti arahan panjang.
Alamat laman web untuk memindah turun Imageresizer adalah http://download.microsoft.com/download/whistler/Install/2/WXP/EN-US/ImageResizerPowertoySetup.exe
Jika alamat ini agak panjang, anda boleh mengarahkan supaya alamat itu dihantar terus ke e-mel menerusi SMS dengan menaip: AZLI RESIZE hantar ke DAPAT|32728. Alamat itu akan dihantar terus secara automatik.
Apabila menerima alamat e-mel itu, anda hanya perlu klik pada alamat terbabit.
Selepas dipindah turun, anda tidak akan dapat melihatnya disenarai perisian seperti perisian lain. Untuk mencapainya, anda hanya perlu memilih ketika imej hendak dihantar.
Ikuti langkah seperti berikut:
1. Pilih arahan penghantaran imej di e-mel atau di laman BLOG
2. Cari imej ingin anda hantar untuk dikecilkan secara automatik.
3. Klik di atas imej menggunakan butang tetikus sebelah kanan.
4. Pemilihan saiz akan muncul dan pilih saiz sesuai.
5. Satu imej baru yang bersaiz kecil seperti dikehendaki akan diwujudkan secara automatik dengan tambahan perkataan (small) di belakang nama yang asal.
Kemudian hantarkan imej itu seperti biasa. Perbezaannya dapat dilihat apabila imej itu dipaparkan oleh perisian e-mel penerima atau di laman blog anda.
Jika dulu imej dipaparkan besar sehingga sukar hendak dilihat, menggunakan teknik ini gambar yang diterima lebih kecil, menjadikannya lebih cepat untuk dipindah turun dan lebih mudah diuruskan.
Imej yang dipaparkan apabila dihantar tanpa proses pengecilan.
Imej yang dipaparkan selepas proses pengecilan.
Bagaimanapun, teknik ini tidak sesuai untuk penghantaran imej yang akan dicetak atau disunting kerana kepadatan atau resolusi gambar sudah berkurangan dengan banyak.
Jika tahu penerima hendak mencetak gambar yang diterima, maka hantarkan imej bersaiz asal tanpa diubah.
Kemudahan pengecilan imej bersaiz besar memang wujud dalam sesetengah perisian pelunsur, tapi ia tidak mengurangkan kepadatan dan saiz sebenar gambar itu. Ia hanya mengecilkan gambar dipaparkan sahaja, berbeza dengan teknik yang kita bincangkan ini.
Dicatat oleh Zai di 5:31 PTG
Label: Tip Dan Trik
Penyambungan dua skrin ke satu komputer
SISTEM Operasi Windows dan Apple membenarkan lebih dari satu skrin ke sesebuah komputer. Untuk komputer dari jenis desktop, Kad Grafik Video perlu ditambah untuk memberikan satu alat tambahan penyambungan ke skrin baru.
Bagaimanapun, tiada kad tambahan diperlukan untuk komputer dari jenis laptop.
Apabila skrin tambahan digunakan pada komputer kita, langkah pengaktifan diperlukan untuk membolehkan skrin yang kedua digunakan. Untuk mengaktifkan skrin yang kedua, langkah yang berikut perlu dilakukan:
1. Pergi ke menu Start > Control Panel
2. Pilih perisian Display > Setttings
3. Klik di atas Skrin bernombor 2 dan pilih arahan Extend my Windows desktop onto this monitor
4. Butang Identify boleh ditekan untuk anda memastikan yang sambungan semua monitor adalah sempurna. Jika semuanya sempurna nombor 1 akan dipaparkan di skrin pertama dan no 2 akan dipaparkan di skrin kedua.
5. Secara automatik skrin kedua perlu diletakkan di sebelah kanan, jika skrin kedua perlu diletakkan di sebelah kiri maka klik di atas skrin nombor dua dan tolakkannya ke sebelah kiri.
Teknik ini juga boleh digunakan apabila membuat persembahan menggunakan Projektor, dengan teknik ini, aktiviti yang dilakukan di desktop tidak lagi akan dipancarkan di projektor.
Dicatat oleh Zai di 5:29 PTG
Label: Tip Dan Trik
Tukar nama fail imej cara mudah
Gambar yang diambil menggunakan kamera digital atau telefon bimbit akan menggunakan nama fail tersendiri sebagai pengenalan kepada sesuatu imej.
Kebiasaannya imej akan diberi nama mengikut tarikh gambar diambil. Ia mungkin juga dimulakan dengan nama jenama kamera digital yang digunakan.
Apabila terlalu banyak imej yang disimpan di dalam komputer, kadang kala ia menjadi kepayahan kepada kita untuk mendapatkan gambar yang kita kehendaki.
Oleh kerana kemudahan pencarian hanya boleh mencari gambar mengikut nama fail, maka elok nama fail sesuatu imej ditukarkan kepada nama yang mewakili kandungan gambar imej terbabit.
Menamakan semula nama imej mengikut kandungan satu persatu akan mengambil masa dan remeh, namun kita sebenarnya boleh menamakan sekumpulan imej dengan nama yang sama secara serentak dengan lebih mudah.
Untuk menamakan semula imej dengan cara serentak, ikutilah langkah berikut:
1. Pilih imej yang hendak ditukarkan namanya. Ikuti langkah di bawah untuk memilih imej yang banyak dengan lebih mudah:
? Jika imej berada di dalam satu folder, gunakan arahan Select All dengan menekan kekunci CTRL + A
? Jika imej yang hendak dipilih berada di lokasi yang berturutan di dalam folder yang sama, klik imej yang pertama, tekan SHIFT dan kemudian klik imej yang terakhir, tanpa melepaskan kekunci SHIFT itu. Semua imej yang berada di antara susunan imej pertama dan terakhir akan dipilih secara automatik.
? Jika anda ingin memilih imej yang tidak berada di dalam susunan pula, tekan kekunci CTRL dan seterusnya mengklik diatas imej pilihan, anda boleh terus meng klik diatas beberapa imej sekali gus tanpa melepaskan butang CTRL. Teknik ini akan memudahkan anda memilih imej yang berlainan susunan secara serentak.
2. Setelah imej dipilih anda boleh membuat perubahan nama imej serentak dengan menekan butang kanan tetikus dan memilih menu Rename
Dengan hanya menukarkan nama satu imej yang terdapat di dalam pilihan,
kesemua nama fail yang telah dipilih akan ditukarkan secara automatik mengikut nama yang diberikan.
Untuk mengelakkan persamaan di dalam nama fail, nombor bersiri akan ditambah secara automatik pada penghujung setiap nama fail yang dipilih.
Jika kamera digital atau telefon bimbit mempunyai kemudahan meletakan nama secara automatik, anda boleh juga menggunakan kemudahan itu yang mana, nama fail akan ditambah semasa gambar itu diambil.
pertanyaan boleh dialamatkan ke alamat email azli@dapat.com.
Dicatat oleh Zai di 5:27 PTG
Label: Tip Dan Trik
Mencapai akaun Gmail guna telefon bimbit
Gmail adalah kemudahan emel percuma yang paling popular pada masa ini. Ia popular kerana ruang yang diberikan lebih besar berbanding kemudahan yang diberi sebelum ini.
Selain daripada ruang penyimpanan yang lebih besar, Gmail juga memberikan kemudahan tambahan penting kepada pelanggan secara percuma.
Di antara kemudahan yang disediakan ialah mencapai emel Gmail menggunakan telefon bimbit.
Jika banyak penyedia lain memberikan kemudahan capaian melalui telefon bimbit menggunakan kemudahan WAP, Gmail memberikan kemudahan capaian menerusi perisian Java.
Perisan Gmail Java ini boleh dipindahturunkan dan dipasang di dalam telefon bimbit yang menyokong kemudahan Java.
Selepas ia dipasang di dalam telefon bimbit, semua emel yang disimpan di dalam Gmail boleh dicapai dan dipaparkan.
Selain dari memaparkan emel yang diterima, pengguna juga boleh membalas, memadam dan juga mengasingkan emel menggunakan telefon bimbit.
Kelebihannya berbanding capaian menerusi WAP atau kemudahan emel yang terdapat dalam sesetengah telefon bimbit lain adalah ianya tidak perlu diselaraskan kerana capaian Gmail dibuat secara automatik.
Kemudahan lain seperti Star, Report Spam dan sebagainya boleh juga digunakan di dalam perisian Gmail Java ini.
Untuk memindah turun perisian Gmail Java ini, anda hanya perlu menaipkan alamat laman web berikut di dalam telefon bimbit anda. http://www.gmail.com/app langkah seterusnya adalah untuk anda memberi kebenaran untuk perisian ini di pasang di dalam telefon bimbit.
Selepas perisian siap dipasang anda bolehlah memasukkan nama pengenalan dan kata laluan Gmail bagi mencapai emel yang disimpan di akaun Gmail.
Jika anda tidak mempunyai akaun Gmail, ia boleh diperolehi dengan mengunjungi laman web www.gmail.com
Apabila anda sampai disana masukkan nombor telefon bimbit anda, dan satu kod pengaktifan akan dihantar secara terus ke telefon bimbit yang dinyatakan.
Masukan kod yang diterima ke dalam ruang yang dipaparkan, satu akaun emel Gmail akan diwujudkan untuk anda gunakan.
Dicatat oleh Zai di 5:26 PTG
Label: Tip Dan Trik
Tambah audio ke laman web
Teknologi Flash membolehkan elemen audio ditambah ke dalam laman web dengan lebih cekap yang mana audio boleh dimainkan semula tanpa memerlukan perisian pemain yang berbeza-beza.
Ia juga boleh dimainkan secara streaming, yang mana ianya boleh dimainkan serta-merta tanpa memindah turun keseluruhan fail audio itu.
Kemudahan pengubahan fail audio kepada format Flash sebelum ini memerlukan perisian Flash dan juga kepakaran di dalam arahan pengaturcaraan Flash Action Script.
Ruangan Tip & Trik kali ini, saya akan berkongsi mengenai perisian yang membolehkan anda mengubah fail audio dari format MP3, atau merakamkan secara terus audio sendiri tanpa mengetahui arahan Action Script. Anda juga tidak perlu membeli perisian Flash yang mahal hanya untuk menambahkan audio ke dalam laman web.
Perisian yang dimaksudkan ialah Flash Sound Button yang boleh dipindah turunkan dari http://www.reutera.com. Versi demonstrasi didapati secara percuma. Jika didapati ia amat berguna untuk jangka masa panjang, anda boleh membelinya menerusi laman web yang sama.
Untuk mengubah format audio ke dalam format Flash yang lengkap dengan butang kawalan, anda hanya perlu mengikuti arahan berikut.
1. Pilih rupa bentuk butang kawalan yang hendak digunakan.
Gambar 1
2. Rakamkan audio yang hendak digunakan atau pilih audio yang sudah siap dirakam.
Gambar 2
3. Anda boleh mengawal audio yang sudah diubah kepada format Flash di peringkat preview.
Gambar 3
4. Audio yang sudah diubah ke format Flash boleh disimpan dan digunakan. Jika ingin menambahkannya ke dalam laman web, arahan HTML juga ada disertakan sebagai panduan.
Gambar 4
Apabila menggunakan kemudahan ini di dalam laman web, ia dapat membantu anda memberi penerangan kepada penunjung dengan lebih mesra.
Teknik ini amat berkesan jika digunakan di laman web pakar motivasi, penjualan barangan dan juga lama web yang menjual lagu-lagu atau nada dering.
Contoh pengunaan hasil daripada perisian ini boleh dilihat dilaman web saya di http://azli.dapat.com, yang mana saya ada meletakkan rakaman segmen perbincangan teknologi yang sudah diudarakan.
Hasil dari pengubahan audio kepada format Flash ini juga boleh dihantar melalui email. Format ini lebih kecil dibandingkan dengan format audio lain seperti WAV, MP3 atau Real.
Dicatat oleh Zai di 5:26 PTG
Label: Tip Dan Trik
Guna komputer sebagai interkom
KOMPUTER kini boleh digunakan sebagai telefon untuk berhubung dengan keluarga, rakan atau rakan sekerja.
Apa yang diperlukan hanyalah perisian yang boleh menyokong kemudahan seumpamanya di atas standard Suara Menerusi Protokol Internet (VOIP).
Oleh kerana Skype merupakan perisian untuk menggantikan telefon biasa, ianya beroperasi seperti telefon yang mana apabila panggilan dibuat, penerima perlu menekan butang 'Answer' sebelum perbualan boleh dilakukan.
Kadangkala kita perlukan kemudahan yang terdapat pada telefon di pejabat kita yang mana penerima boleh terus mendengar suara pemanggil tanpa perlu menjawab panggilan.
Kemudahan itu dinamakan Interkom.
Kemudahan menggunakan Interkom di komputer kini boleh digunakan dengan perisian yang dinamakan Loudtalks.
Ia boleh dipindah turun di www.loudtalks.com. Apabila perisian sudah dipasang, anda boleh berkomunikasi dengan sesiapa saja di seluruh dunia seolah-olah mereka berada di pejabat yang sama.
Selepas perisian dipasang, langkah pertama adalah mendaftarkan nama pengenalan anda: Beritahu rakan anda supaya memindahturunkan perisian yang sama dan seterusnya mendaftarkan nama pengenalan mereka.
Selepas rakan anda berjaya mendaftar, anda hanya perlu memilih Tools > Add a contact untuk berkomunikasi dengan mereka Selepas anda menjemput rakan anda untuk berkomunikasi, pastikan rakan anda menerima jemputan itu untuk perbualan boleh diteruskan. Untuk berhubung dengan rakan anda yang namanya berada di dalam senarai, anda hanya perlu pilih nama mereka dan tekan butang untuk bercakap.
Jika anda tidak mahu menekan butang tersebut anda boleh menekan butang F7 sebagai jalan pendek. Jika anda ingin mengubah fungsi butang-butang yang diberikan, anda boleh mengubahnya dengan memilih Tools > Options Jika anda belum ada rakan untuk berinterkom, tambahkan sahaja nama pengenalan saya AZLIPAAT sebagai cubaan untuk kita mulakan interkom dari mana saja anda berada.
Dicatat oleh Zai di 5:24 PTG
Label: Tip Dan Trik
Kawal perisian ketika proses start-up
Setiap kali perisian dalam kategori Perisian Utiliti dipasang di dalam komputer, kemungkinan besar ianya akan disetkan untuk dimulakan secara automatik setiap kali komputer dimulakan.
Walaupun kemudahan memulakan perisian secara automatik ini memudahkan pengguna, namun ianya akan memanjangkan masa untuk komputer dimulakan. Lebihlebih lagi jika perisian terbabit tidak lagi diperlukan.
Kebanyakaan perisian yang dimulakan secara automatik ini boleh dilihat di dalam kawasan 'System Tray', di sebelah kanan bawah Task Bar. Jika banyak perisian yang sudah dimulakan, maka akan panjanglah senarai ikon di dalam 'System Tray' sesebuah komputer itu.
Sebenarnya terdapat kemudahan yang mana kita boleh mengawal perisian-perisian yang muncul di dalam senarai 'System- Tray' daripada dimulakan secara automatik semasa komputer dimulakan.
Untuk mencapai kemudahan pengawalan perisian yang muncul di dalam 'System Tray', ikuti langkah berikut: 1. Pilih Menu Start > Run > Taip: MSCONFIG Gambar Tip1 2. Pilih Tab Startup Gambar Tip2 3. Klik diatas perisian yang kita tidak ingin dimulakan secara automatik apabila komputer dimulakan.
Tekan OK apabila selesai.
4. Untuk pilihan terkini diaktifkan, komputer anda perlu dimulakan sekali lagi. Tekan 'restart'.
5. Mesej peringatan akan dipaparkan setiap kali anda memulakan komputer selepas senarai diubah.
6. Jika anda ingin mengubah senarai perisian semula, ulangi langkah seperti di atas.
Selepas memendekkan senarai perisian yang akan dimulakan apabila komputer dihidupkan, anda akan dapati komputer anda boleh digunakan semula dengan lebih cepat berbanding sebelum itu.
Ia juga akan mengurangkan pengunaan memori, seterusnya akan membolehkan komputer anda beroperasi dengan lebih cekap.
Pertanyaan boleh dihantarkan ke azli@dapat.com.
Dicatat oleh Zai di 5:24 PTG
Label: Tip Dan Trik
Kemudahan e-mel tolakan Blackberry
TEKNOLOGI perhubungan sentiasa berubah. Teknologi yang dirasakan amat canggih pada sesuatu masa akan diganti dengan teknologi lebih berkesan.
Teknologi telefon bimbit yang dimulakan dengan perhubungan menggunakan suara kini diambil alih perhubungan melalui teks iaitu SMS.
Ia kemudian disokong teknologi MMS yang membolehkan maklumat berbentuk multimedia dihantar melalui telefon bimbit.
Dengan teknologi 3G, sidang video boleh dilakukan secara langsung menggunakan telefon bimbit yang menyokong teknologi 3G.
Teknologi terkini adalah menghantar dan menerima e-mel melalui telefon bimbit. Biasanya membabitkan telefon pintar.
Walaupun kebanyakaan telefon bimbit sebelum ini boleh menghantar dan menerima e-mel, ia hanya satu daripada kemudahan sampingan.
Kemudahan e-mel yang terdapat di kebanyakaan telefon bimbit tidak dimanfaatkan sebaik mungkin oleh pengguna kerana ia tidak dibekalkan dengan pelarasan diperlukan.
Kepada pengguna yang mempunyai pengetahuan mengenai sistem penghantaran dan penerimaan e-mel, mereka boleh membuat pelarasan atau tetapan untuk mengatifkannya sendiri, namun pengalaman menggunakan e-mel menerusi telefon bimbit sehingga kini tidaklah begitu selesa seperti pengunaan SMS.
Ruang teknologi komunikasi menggunakan e-mel di telefon bimbit tidak dihiraukan kebanyakan pengeluar dan penghasil teknologi telefon bimbit sehingga kini.
Untuk pengguna yang ingin menerima dan menghantar e-mel dengan lebih mudah, kini terdapat teknologi yang dipelopori oleh Syarikat RIM yang dinamakan Email Push di bawah jenama Blackberry.
Jenama telefon bimbit Blackberry nampaknya masih jarang kelihatan dipamerkan di kaunter telefon bimbit di pasar raya, faktor penyebabnya adalah untuk ia beroperasi dengan sempurna, memerlukan perisian tambahan untuk dipasang ke sistem pelayan e-mel pengguna Blackberry itu.
Namun, keperluan pemasangan perisian di dalam pelayan e-mel pengguna tidak lagi diperlukan.
Syarikat Blackberry memberikan kemudahan pengunaan pelayan mereka dengan caj minima setiap bulan.
Kemudahan penerimaan e-mel tolakan juga boleh digunakan kepada semua e-mel persendirian dan kemudahan emel percuma tanpa memerlukan pemasangan perisian pengguna di pelayan e-mel.
Pengguna e-mel seperti Yahoo!, Hotmail dan Gmail boleh memiliki kemudahan ini secara terus.
Apa yang membezakan kemudahan e-mel tolakan yang digunakan Blackberry dengan kemudahan e-mel tolakan lain ialah proses pendaftaran e-mel yang dipermudahkan.
Pengguna tidak perlu mengetahui ketetapan POP atau IMAP dan sebagainya untuk membolehkan e-mel dibaca di telefon bimbit. Apa diperlukan hanya alamat e-mel dan kata laluannya.
Dalam masa beberapa minit selepas maklumat itu dimasukkan ke Blackberry, e-mel yang diterima di alamat e-mel yang diberikan akan muncul dalam Blackberry pengguna.
Proses membalas e-mel yang diterima juga cukup mudah, pengguna hanya perlu memilih arahan balas, taip mesej balasan, secara automatik mesej yang dibalas akan dikemaskini di dalam kekotak e-mel utama bagi alamat e-mel terbabit.
Ini bermakna jika Blackberry anda hilang semua e-mel yang diterima dan e-mel yang dihantar melalui Blackberry masih boleh dicapai melalui kekotak e-mel utama di Internet.
Oleh kerana Blackberry dihasilkan untuk mengendalikan e-mel saja, ia boleh menyimpan hingga ribuan e-mel tanpa memperlahankan proses penggunaan peralatan itu.
Berbeza dengan kemudahan e-mel yang didatangkan dengan telefon bimbit biasa, kehadiran beberapa e-mel saja boleh menyebabkan operasi telefon bimbit menjadi perlahan.
Blackberry juga boleh membuka fail sisipan seperti Excel, PDF dan Word. Walaupun ia tidak mempunyai kemudahan Word secara keseluruhan, ini cukup membantu kita melihat kandungan sisipan yang disertakan bersama e-mel itu.
Pengunaan e-mel tolakan melalui telefon bimbit ini juga dapat membantu seseorang menjimatkan masa menjawab e-mel.
E-mel boleh dijawab sebaik saja ia diterima walau di mana mereka berada.
Kini pengguna tidak perlu berhadapan dengan jumlah e-mel yang banyak setiap kali kembali bekerja kerana e-mel boleh dibalas sebaik saja ia diterima. Faktor itu juga menggambarkan profesionalisme sesebuah organisasi di dalam menyelesaikan sesuatu tugasan seharian.
Oleh kerana pengunaan sistem Blackberry ini masih baru di Malaysia, ramai mungkin ragu sama ada pertukaran dari sistem telefon bimbit sedia ada kepada Blackberry satu langkah bijak.
Keputusannya jika anda bergantung kepada kemudahan e-mel untuk tugasan seharian, peralihan kepada sistem Blackberry adalah langkah bijak yang tidak perlu dikesali. Anda mungkin menyesal kerana tidak bertukar kepada sistem ini lebih awal.
Jika anda ada pertanyaan mengenai sistem Blackberry, kos, pengunaan dan di mana hendak memperolehnya, sila e-mel kepada azli@dapat.com.
Dicatat oleh Zai di 5:23 PTG
Label: Tip Dan Trik