SIFAT Solat Nabi Menurut Mazhab Imam as-Syafie. Topiknya lazim dan ringkas, tetapi pengisiannya padat dengan pelbagai maklumat yang selama ini tidak diketahui sesetengah individu Muslim.
Bicara Islam itu dianjurkan Balai Islam Kolej Pertama di Balai Ungku Aziz, Fakulti Pergigian, Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur, sempena Simposium Maal Hijrah.
Timbalan Penolong Pengarah Pengisian dan Imarah Surau Balai Islam Kolej Pertama, Fatin Nasibah Elias, berkata bicara Islam itu adalah program yang dianjurkan setiap tahun.
“Kami mengadakan program ini mengikut tradisi setiap kali ada simposium dengan yuran RM10 setiap peserta, merangkumi kos buku panduan dan makanan,” kata penuntut tahun dua jurusan alam bina itu.
Bicara Islam itu dihoskan oleh Muhamad Abdullah dari ALC Arabic Language & Consultancy yang menjelaskan sifat, kaedah dan ciri solat dengan sempurna seperti dilakukan Nabi Muhammad s.a.w.
Penjelasan diberikan secara menyeluruh berkaitan solat, termasuk syarat sah, perkara makruh dan yang membatalkan solat, khusyuk, rukun solat, bacaan al-Fatihah, selawat ke atas nabi dan salam.
Sifat solat nabi ialah satu keadaan solat seperti yang diajarkan kepada masyarakat Islam melalui hadis dan praktik secara mutawatir seperti disebut baginda bermaksud: “Solatlah kamu seperti kamu melihat aku bersolat.”
Berdasarkan hadis berkaitan solat, Nabi Muhammad mengerjakan ibadat itu dengan menjaga tujuh perkara iaitu penjagaan syarat sah, adab, penyempurnaan rukun, perkara membatalkan, perkara sunat, meninggalkan kesalahan dan khusyuk dalam solat.
Penuntut tahun satu universiti itu, Norhidayah Abdullah, 20, berkata program itu sangat bermanfaat kerana menerangkan ibadat solat sebagaimana yang dilakukan Rasulullah.
“Solat adalah ibadat penting yang mesti dilakukan setiap Muslim pada setiap waktu dan setiap hari.
“Tanpa ilmu dan kemahiran akan mengakibatkan solat yang dilakukan tidak sempurna,” katanya.